Monday 12 December 2011

MASA ITU EMAS

Masa amat penting untuk semua makhluk di dunia ini. Di dalam al Quran banyak ayat yang menyentuh tentang pentingnya mengurus masa. Salah satu ayat al Quran yang menyentuh kepentingan masa adalah seperti berikut. Maksudnya: "Demi masa.Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran" (Al-Asr)

Penggunaan masa yang efektif adalah satu perkara yang selalu dibincangkan. Ramai orang menyatakan bahawa masa yang dipunyai mereka tidak mencukupi. Justeru itu selalunya mereka gagal dalam banyak perkara. Sebenarnya ini merupakan alasan semata-mata. Kita lihat tokoh-tokoh di dalam bidang masing-masing. Semuanya adalah manusia biasa yang juga diperuntukkan masa yang sama dengan kita. Keluhan-keluhan yang tidak membina itu sebenarnya adalah alasan untuk kita masih berada pada takuk yang lama dan tidak mahu bertindak seiring dengan arus perubahan. Oleh sebab itu, alasan inilah yang menyebabkan kita berada dikepompong tersebut dan sukar bagi kita meloloskan diri dari belenggunya. Jika penggunaan masa dapat diatur dengan teratur sudah pasti akan membawa kejayaan yang cemerlang terutama kita sebagai guru yang dalam masa yang sama juga pelajar dan ibu bapa kepada anak-anak di rumah. Pengagihan masa di sini amat penting supaya jangan jadi seperti peribahasa yang dikejar tak dapat , yang dikendong pula berciciran. Sama-samalah kita bermuhasabah diri. Insya-allah.

No comments:

Post a Comment