Friday 28 October 2011

DIDIR HIBUR DALAM KSSR BAHASA MELAYU TAHUN 1

Kerajaan telah memperkenalkan kurikulum baharu dalam sistem pendidikan negara. Kurikulum yang dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) adalah bagi menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Kurikulum ini telah dilaksanakan kepada semua murid Tahun 1 mulai tahun 2011. Selaras dengan  kurikulum tersebut, beberapa komponen kemahiran telah dimasukkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu. Antaranya ialah kemahiran didik hibur. Terdapat banyak  elemen dalam kemahiran didik hibur iaitu aktiviti bercerita, menyanyi, bersajak, berpantun dan sebagainya yang memberi penekanan kepada aspek seni bahasa. Melalui aktiviti tersebut, pelajar diharap dapat mengujarkan bahasa yang indah dan menggunakan bahasa badan secara kreatif berpandukan  salah satu  aktiviti yang dipilih secara didik hibur.
Sebenarnya pelbagai aktiviti yang dibincangkan adalah sebahagian daripada teknik pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan telah diamalkan sejak sekian lama. Melalui aktiviti ini, banyak kemahiran penting dalam berbahasa dapat dikuasai khususnya dalam kemahiran lisan. Namun sejak belakangan ini, aktiviti-aktiviti sedemikian  kurang diaplikasikan oleh guru dalam pengajaran kerana sistem pendidikan lebih menekankan ‘exam oriented’ yang mementingkan pencapaian dalam peperiksaan awam.
Dengan penjenamaan semula aktiviti-aktiviti seperti bercerita melalui didik hibur, diharapkan guru-guru akan lebih memberi perhatian kepada pendidikan yang sepatutnya menjadi sesuatu yang menyeronokkan kepada murid-murid. Melalui pendidikan, mereka berpeluang untuk memenuhi keperluan dan sifat ingin tahu dalam diri mereka. Mereka bukan hanya diterapkan dengan ‘ilmu’ semata-mata tetapi menerima ilmu tersebut dengan cara yang tidak membosankan. Dengan itu, murid-murid akan sentiasa teruja untuk melengkapkan pengetahuan mereka dan meneroka banyak perkara dalam pembelajaran yang mereka hadapi.
Dalam memastikan kurikulum ini dapat menjalankan fungsinya dengan baik, semua pihak sepatutnya mengambil sikap yang positif. Jika tidak, hasrat untuk menambah baik sistem pendidikan tidak akan menjadi kenyataan dan akhirnya  tetap berada pada takuk lama termasuk impak perubahan yang diharapkan hanya tinggal angan-angan.


No comments:

Post a Comment